Thursday 26 July 2018

Laporan International Future Scientist Conference (iFSC) 2018

Laporan International Future Scientist Conference (iFSC) 2018

    Pada 24 Julai 2018, Kolej PERMATApintar Negara telah mengadakan sebuah program persidangan pembentangan penyelidikan bagi pelajar Tahap 2. Program telah berlangsung selama 3 hari. Seramai 90 orang peserta telah membentangkan hasil penyelidikan masing-masing kepada para juri. Program ini disertai para pelajar daripada seluruh Malaysia. Tambahan pula, terdapat satu kumpulan penyelidikan daripada Shibata High School, Jepun, yang turut menyertai program tersebut. Para peserta telah melakukan yang terbaik dan program telah berjalan dengan lancar.

    Persediaan bagi program telah bermula sejak minggu sebelumnya lagi. Pada 23 Julai 2018, raptai bagi program tersebut telah diadakan sepanjang hari tersebut. Persediaan yang rapi telah dilakukan bagi menjamin perjalanan majlis yang lancar. Para peserta mula menghias tempat pameran penyelidikan mereka bermula daripada pagi hingga ke penghujung hari. Para pelajar yang melakukan persembahan telah berlatih sehabis baik sepanjang hari tersebut. Para pengiring juga turut dilatih agar tetamu jemputan berasa selesa dengan majlis yang akan dijalankan.

    Pada hari yang berikutnya, bermulalah program International Future Scientist Conference di Kolej PERMATApintar Negara. Majlis bermula pada pukul 2.30 petang, setelah menunggu ketibaan tetamu-tetamu jemputan. Para peserta telah mendaftar di kaunter pendaftaran di dalam audiorium sebelum bermulanya majlis pembukaan. Ucapan pembukaan telah diberikan oleh Profesor Datuk Dr. Noriah Mohd Ishak, Pengarah Kolej PERMATApintar Negara dan majlis dirasmikan oleh Prof Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa, TNC Akademik dan Antarabangsa. Majlis tamat dengan persembahan daripada kumpulan mini orkestra Kolej PERMATApintar Negara.

    Pada hari kedua program, para peserta dikehendaki untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka kepada para juri untuk diadili. Sesi pemarkahan telah berlangsung seawal jam 9.00 padi di auditorium Kolej PERMATApintar Negara. Mereka telah melakukan sehabis baik dan para juri berpuas hati dengan semua peserta yang bertungkus-lumus dalam menyiapkan setiap projek yang dilakukan. Pada sebelah petang pula, para peserta dan pelajar Kolej PERMATApintar Negara dikehendaki untuk menghadirkan diri ke auditorium bagi sama-sama mendengar satu ceramah mengenai penyelidikan. 

    Pada hari terakhir program, hari tersebut bermula dengan satu ceramah daripada pengarah Kolej PERMATApintar Negara yang disertai oleh para peserta dan pelajar Kolej PERMATApintar Negara. Pada pukul 11.00 pagi, bermulanya majlis penutupan International Scientist Conference 2018. Para peserta berasa sungguh gementar dengan keputusan yang bakal diumumkan. Mereka berasa gembira dan berpuas hati dengan apa yang mereka peroleh. Majlis berakhir dengan persembahan daripada pelajar-pelajar Kolej PERMATApintar Negara.

    Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari ilmu penyelidikan di samping mengasah bakat dan skil pembentangan kepada orang ramai. Program ini juga melatih pelajar untuk menjadi lebih yakin semasa bercakap dikhalayak ramai. Secara tidak langsung, program ini mampu memberi sumbangan kepada negara dalam sektor penyelidikan dan perkembangan teknologi negara. 

    Saya berharap agar program ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan. 


Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,                                                                                                        26 JULAI 2018
Farhat    
(Muhammad Farhat Iqbal Bin Abdul Gaffar)
Pelajar,
Kolej PERMATApintar Negara,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuesday 17 July 2018

JAWAPAN SOALAN PERCUBAAN SPM 2017 BAHASA MELAYU NEGERI PERLIS KERTAS 2

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

(a) Tulis satu ayat bagi setiap pasangan kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya.  Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas. 

(i) Jangan jemput dia ke majlis kita kerana dia mempunyai hal keluarga yang perlu diselesaikan. 
     Ibu menggoreng jemput-jemput untuk hidangan sarapan pagi.

(ii) Lelaki tersebut memakai topi untuk menyembunyikan rambutnya yang jarang.
    Sejak kebelakangan ini, abang jarang-jarang pulang ke rumah kerana sibuk dengan kerja di pejabat.

(iii) Terdapat satu garisan halus memisahkan air tawar dengan air masin di muara sungai ini.
    Bawang merah haruslah dipotong halus-halus supaya proses memasak akan mejadi lebih cepat.


(b) Tukarkan ayat aktif  di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Majlis rumah terbuka telah lama diadakan oleh masyarakat Malaysia apabila menyambut sesuatu perayaan.

(ii) Pengalaman berkhemah perlu kamu kongsikan dengan rakan yang lain.
     
     (iii) Muzium Negara dikunjungi oleh Persatuan Sejarah Negeri Perlis sebagai aktiviti tahunan                    mereka.

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan.  Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) aturcara - atur cara, terancang - dirancang 
(ii) disayangi - kesayangan, buffet - bufet 
(iii) pra-syarat - prasyarat, menyelamatkan - keselamatan

(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.  Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi  setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan  kata atau istilah  dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat  itu semula.

i banyak kapal-kapal - banyak kapal / kapal-kapal, berhenti - berlabuh
ii Bahasa Melayu - bahasa Melayu, budayawan - cendekiawan / ilmuan
iii di dalam - dalam, menganugerahkan - mengurniakan

(e) Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

(i) ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua 
(ii) seperti kata orang-orang tua sediakan payung sebelum hujan
(iii) seperti cendawan tumbuh selepas hujan 

Tuesday 3 July 2018

Jawapan Latihan Rumusan

RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


    Dari masa ke masa kita dihadapkan dengan kes-kes pesakit kronik yang merayu simpati orang
ramai supaya memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan mereka mendapat rawatan segera. Kita berbangga kerana ramai dermawan yang sanggup memberikan sumbangan kemanusiaan seumpama ini. Namun begitu, cara ini bukanlah langkah yang terbaik dalam kalangan masyarakat penyayang. Hal ini demikian kerana pesakit-pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera terpaksa meminta bantuan daripada individu atau dermawan tertentu. Golongan pesakit kronik ini juga biasanya berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak. Kita percaya bahawa adalah lebih wajar diwujudkan badan khas untuk membolehkan pesakit-pesakit kronik mendapat bantuan kewangan. Badan khas ini juga dapat membiayai rawatan segera supaya mereka tidak perlu membuat rayuan kepada orang ramai. Di samping itu, orang ramai atau badan-badan yang ingin menderma dapat menyalurkan sumbangan secara sistematik kepada badan berkenaan supaya dapat disampaikan kepada pesakit kronik yang memerlukan bantuan.

   Kita percaya bahawa dengan cara ini, bantuan akan dapat disalurkan secara lebih tersusun, terhormat dan telus. Pesakit kronik pula tidak perlu memainkan sentimen simpati orang ramai melalui media. Dengan cara ini, gagasan masyarakat penyayang akan dapat dilihat lebih adil, proaktif dan komprehensif. Semua penghidap pesakit kronik akan memperoleh manfaat dan bukan hanya pesakit kronik yang mempunyai kedudukan yang tertentu sahaja. Namun begitu, orang ramai yang ingin menyumbangkan derma secara langsung kepada individu tertentu masih boleh berbuat demikian. Sumbangan mereka ini harus digalakkan. Langkah mereka akan mengurangkan beban badan yang dicadangkan supaya badan ini dapat menumpukan perhatian kepada golongan yang tidak berupaya untuk mendapat bantuan daripada pihak lain.

    Dalam pada itu, kita sedar bahawa telah wujud banyak badan kebajikan dan badan amal, baik
yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun yang ditubuhkan orang ramai. Kita harus bersyukur kerana
badan-badan ini telah banyak memberi sumbangan kepada kebajikan rakyat di negara ini. Namun begitu, jika ada dasar penyelarasan yang lebih berkesan , kita percaya lebih banyak anggota masyarakat yang memerlukan bantuan akan mendapat manfaat. Sememangnya kerajaan dan badan-badan amal tidak dapat membantu semua orang yang memerlukan bantuan tersebut. Kita berharap agar penyelesaian yang berkesan akan mampu memberikan manfaat kepada golongan yang berkenaan seluas-luasnya.

     Penubuhan badan ini dapat menentukan keperluan bantuan sebenar pesakit dari segi jenis, kos
dan tempat rawatan. Secara tidak langsung, badan ini dapat memastikan bahawa wang yang
disumbangkan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Sesungguhnya, kewujudan masyarakat penyayang yang
mampu melindungi kebajikan anggotanya yang daif merupakan salah satu ciri penting sesebuah negara
penyayang.

(Diubahsuaikan daripada rencana pengarang
Utusan Malaysia: Badan Bantu Pesakit Kronik,30 Julai 2002)







    Petikan membincangkan kebaikan penubuhan khas bagi membantu pesakit kronik dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

     Antara kebaikan penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik, yang pertama, untuk membolehkan pesakit-pesakit kronik mendapat bantuan kewangan. Kedua, badan khas ini juga dapat membiayai rawatan segera. Ketiga, orang ramai dapat menyalurkan sumbangan secara sistematik kepada badan berkenaan. Keempat, segala bantuan akan dapat disalurkan secara lebih tersusun, terhormat dan telus dengan kewujudan badan khas ini. Kelima, pesakit kronik pula tidak perlu memainkan sentimen simpati orang ramai melalui media. Keenam, dengan adanya badan khas ini, semua penghidap penyakit kronik akan memperoleh manfaat. 

   Antara sebab-sebab penubuhan badan khas ini ialah, untuk mengalakkan orang ramai menderma dan menyegerakan rawatan kepada pesakit kronik. 

    Kesimpulannya, semua pihak harus menyokong penubuhan badan ini agar pesakit kronik akan mendapat pembelaan sewajarnya.

(117 patah perkataan)



























Soalan 2 (a)

(i) Maksud rangkai kata melindungi kebajikan anggotanya yang daif   ialah menjaga kesihatan ahlinya yang miskin.

(ii) Pesakit kronik memperoleh sumber kewangan untuk membiayai perubatan mereka dengan cara meminta bantuan daripada individu tertentu atau dermawan tertentu. Mereka juga berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak. Selain itu, badan kebajikan dan badan amal yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun orang ramai banyak memberi sumbangan kepada mereka.

(iii) Antara cara-cara untuk mengelakkan berlakunya penyakit kronik dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini ialah dengan mengamalkan cara hidup sihat. Selain itu, masyarakat perlulah makan makanan yang berkhasiat dan seimbang serta sentiasa berjumpa doktor dan melakukan pemeriksaan tahap kesihatan. Seterusnya, kempen kesedaran mengenai gaya hidup sihat perlulah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.