Tuesday 3 July 2018

Jawapan Latihan Rumusan

RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


    Dari masa ke masa kita dihadapkan dengan kes-kes pesakit kronik yang merayu simpati orang
ramai supaya memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan mereka mendapat rawatan segera. Kita berbangga kerana ramai dermawan yang sanggup memberikan sumbangan kemanusiaan seumpama ini. Namun begitu, cara ini bukanlah langkah yang terbaik dalam kalangan masyarakat penyayang. Hal ini demikian kerana pesakit-pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera terpaksa meminta bantuan daripada individu atau dermawan tertentu. Golongan pesakit kronik ini juga biasanya berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak. Kita percaya bahawa adalah lebih wajar diwujudkan badan khas untuk membolehkan pesakit-pesakit kronik mendapat bantuan kewangan. Badan khas ini juga dapat membiayai rawatan segera supaya mereka tidak perlu membuat rayuan kepada orang ramai. Di samping itu, orang ramai atau badan-badan yang ingin menderma dapat menyalurkan sumbangan secara sistematik kepada badan berkenaan supaya dapat disampaikan kepada pesakit kronik yang memerlukan bantuan.

   Kita percaya bahawa dengan cara ini, bantuan akan dapat disalurkan secara lebih tersusun, terhormat dan telus. Pesakit kronik pula tidak perlu memainkan sentimen simpati orang ramai melalui media. Dengan cara ini, gagasan masyarakat penyayang akan dapat dilihat lebih adil, proaktif dan komprehensif. Semua penghidap pesakit kronik akan memperoleh manfaat dan bukan hanya pesakit kronik yang mempunyai kedudukan yang tertentu sahaja. Namun begitu, orang ramai yang ingin menyumbangkan derma secara langsung kepada individu tertentu masih boleh berbuat demikian. Sumbangan mereka ini harus digalakkan. Langkah mereka akan mengurangkan beban badan yang dicadangkan supaya badan ini dapat menumpukan perhatian kepada golongan yang tidak berupaya untuk mendapat bantuan daripada pihak lain.

    Dalam pada itu, kita sedar bahawa telah wujud banyak badan kebajikan dan badan amal, baik
yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun yang ditubuhkan orang ramai. Kita harus bersyukur kerana
badan-badan ini telah banyak memberi sumbangan kepada kebajikan rakyat di negara ini. Namun begitu, jika ada dasar penyelarasan yang lebih berkesan , kita percaya lebih banyak anggota masyarakat yang memerlukan bantuan akan mendapat manfaat. Sememangnya kerajaan dan badan-badan amal tidak dapat membantu semua orang yang memerlukan bantuan tersebut. Kita berharap agar penyelesaian yang berkesan akan mampu memberikan manfaat kepada golongan yang berkenaan seluas-luasnya.

     Penubuhan badan ini dapat menentukan keperluan bantuan sebenar pesakit dari segi jenis, kos
dan tempat rawatan. Secara tidak langsung, badan ini dapat memastikan bahawa wang yang
disumbangkan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Sesungguhnya, kewujudan masyarakat penyayang yang
mampu melindungi kebajikan anggotanya yang daif merupakan salah satu ciri penting sesebuah negara
penyayang.

(Diubahsuaikan daripada rencana pengarang
Utusan Malaysia: Badan Bantu Pesakit Kronik,30 Julai 2002)







    Petikan membincangkan kebaikan penubuhan khas bagi membantu pesakit kronik dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

     Antara kebaikan penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik, yang pertama, untuk membolehkan pesakit-pesakit kronik mendapat bantuan kewangan. Kedua, badan khas ini juga dapat membiayai rawatan segera. Ketiga, orang ramai dapat menyalurkan sumbangan secara sistematik kepada badan berkenaan. Keempat, segala bantuan akan dapat disalurkan secara lebih tersusun, terhormat dan telus dengan kewujudan badan khas ini. Kelima, pesakit kronik pula tidak perlu memainkan sentimen simpati orang ramai melalui media. Keenam, dengan adanya badan khas ini, semua penghidap penyakit kronik akan memperoleh manfaat. 

   Antara sebab-sebab penubuhan badan khas ini ialah, untuk mengalakkan orang ramai menderma dan menyegerakan rawatan kepada pesakit kronik. 

    Kesimpulannya, semua pihak harus menyokong penubuhan badan ini agar pesakit kronik akan mendapat pembelaan sewajarnya.

(117 patah perkataan)



























Soalan 2 (a)

(i) Maksud rangkai kata melindungi kebajikan anggotanya yang daif   ialah menjaga kesihatan ahlinya yang miskin.

(ii) Pesakit kronik memperoleh sumber kewangan untuk membiayai perubatan mereka dengan cara meminta bantuan daripada individu tertentu atau dermawan tertentu. Mereka juga berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak. Selain itu, badan kebajikan dan badan amal yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun orang ramai banyak memberi sumbangan kepada mereka.

(iii) Antara cara-cara untuk mengelakkan berlakunya penyakit kronik dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini ialah dengan mengamalkan cara hidup sihat. Selain itu, masyarakat perlulah makan makanan yang berkhasiat dan seimbang serta sentiasa berjumpa doktor dan melakukan pemeriksaan tahap kesihatan. Seterusnya, kempen kesedaran mengenai gaya hidup sihat perlulah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.


No comments:

Post a Comment