Monday 8 October 2018

Gramatis: Kosa Kata dan Bahasa Klasik berserta Contoh Ayat

GRAMATIS 1


KOSA KATA


1. ANANI - Hanya mementingkan diri sendiri

Contoh ayat: Untuk menjamin suasana kejiranan yang ceria dan harmoni, sifat anani haruslah dielakkan dan diganti dengan sifat prihatin dan bertoleransi di antara satu sama lain.

2. BINTAT - Bengkak kecil pada kulit (biasanya akibat gigitan serangga)

Contoh ayat: Kesan bintat di lengannya sudah hilang setelah disapu dengan ubat yang telah diberikan oleh doktor petang tadi.

3. CENGIL - Keras dan pedas (dalam percakapan), garang

Contoh ayat: Disebabkan bapa Alia seorang yang cengil, Alia tidak pernah melawan kata-kata bapanya malahan dia ikutkan sahaja kehendak bapanya itu.

4. DAMPIT - Degil, keras kepala

Contoh ayat: Hamiz merupakan seorang pelajar yang dampit kerana dia sering membuat kacau bersama beberapa orang rakan-rakannya.

5. EKSTRADISI - Penyerahan seseorang penjenayah kepada negara tempat jenayah dilakukan untuk dibicarakan.

Contoh ayat: Malaysia telah membuat perjanjian ekstradisi dengan beberapa negara di dunia ini.

6. GASAR - Ganas dan kasar

Contoh ayat: Ibu memarahi abang kerana abang bertindak gasar terhadap adik sehingga membuatkan adik menangis teresak-esak.



BAHASA KLASIK


1. ASTAKA - Balai

Contoh ayat: Para pelajar haruslah berada di astaka sejurus selepas acara balapan tamat bagi acara penyampaian hadiah untuk berlangsung.

2. BARANG KELAKUAN - Segala kelakuan

Contoh ayat: Barang kelakuan buruk Azmi sudah sampai ke pengetahuan ibu bapanya semasa perjumpaan ibu bapa dan guru diadakan.

3. CANGGUNG - Kekok, kurang sedap bahasanya

Contoh ayat: Walaupun Hanim berasa canggung untuk bercakap di khalayak ramai, namun Hanim mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan hujahnya dengan penuh yakin.

4. DEMI - Setelah

Contoh ayat: Ahmad berjanji untuk belajar dengan bersungguh-sungguh demi ibu bapanya meninggalkannya buat selama-lamanya.

5. GERANGAN - Agaknya, barangkali

Contoh ayat: Gerangan siapalah yang membuat onar di kawasan kampung kita sehingga menyebabkan balai raya kampung terbakar.

6. HIDUP-HIDUPAN - Binatang ternakan

Contoh ayat: Pak Mat mempunyai hidup-hidupan yang diternaknya di belakang rumahnya untuk tujuan perniagaan.


GRAMATIS 2


KOSA KATA



1. KENTARA - Jelas kelihatan

Contoh ayat: Kawasan perumahan itu sungguh kentara dari puncak bukit yang kita sudah berjaya daki ini.


2. LANCIP - Tirus ke hujung, runcing

Contoh ayat: Jarinya yang lancip memudahkan dia untuk mencapai sesuatu benda yang berada di ruangan yang kecil.


3. MAJAL - Tidak tajam (pisau pedang dll) benak (fikiran, akal)

Contoh ayat: Pisau kesayangan ibu sudah menjadi majal kerana sudah lama tidak digunakan.


4. NYELAP - Tidak sedarkan diri

Contoh ayat: Disebabkan oleh hentakan yang kuat di kepala Halim akibat kemalangan yang ditimpanya baru-baru ini, dia masih dalam keadaan nyelap di Hospital Klang.


5. OMPONG - Oleh-oleh, buah tangan

Contoh ayat: Ah Meng singgah ke sebuah kedai untuk membeli ompong buat isterinya yang sedang menahan sakit di hospital.


6. PALEN - Barang-barang kelontong, barang yang diguna hari-hari (spt selipar, sabun mandi dll)

Contoh ayat: Setiap peserta perkhemahan haruslah membawa palen yang secukupnya agar kebersihan diri dapat dijaga dengan baik sepanjang perkhemahan berlangsung.



BAHASA KLASIK


1. JAMBATAN LARANGAN - Pangkalan raja

Contoh ayat: Hanya orang-orang yang tertentu sahaja boleh memasuki jambatan larangan yang dikawal ketat oleh askar diraja.

2. KABUL AKAN - Setuju, berkenan

Contoh ayat: Ramlah kabul akan Rahim yang mencadangkan untuk menaik taraf surau sekolah mereka yang sudah tidak mampu untuk menampung para pelajar untuk melakukan ibadah.

3. LEMAS - Halus (budi bahasa, lemah lembut (kelakuan)

Contoh ayat: Jamilah merupakan seorang yang lemas dan dia disenangi oleh orang sekelilingnya disebabkan oleh perwatakannya yang sopan-santun.

4. MAJLIS/MEJELIS - Elok, cantik

Contoh ayat: Ibu memastikan ruang tamu sentiasa kelihatan mejelis dengan selalu mengemas dan mengemop ruangan tersebut.

5. NARWASTU - Akar wangi, bau-bauan harum

Contoh ayat: Farees memakai narwastu sebelum memulakan perjalanan untuk bertemu dengan kekasihnya.

6. ORANG KELUARAN - Orang yang bukan dari istana, orang kebanyakan

Contoh ayat: Orang keluaran haruslah menurut segala perintah raja jika tidak mahu dilaknat oleh raja dan seterusnya di buang negeri.


GRAMATIS 3


KOSA KATA


1. RANTAM - Bersama-sama membuat sesuatu pekerjaan

Contoh ayat: Sebagai satu kumpulan, kami berjanji kami akan melakukan segala tugasan yang akan diberikan secara rantam.

2. SAGUR - Perahu yang diperbuat daripada batang kayu

Contoh ayat: Perahu sagur sering digunakan pada suatu ketika dahulu untuk mengangkut barang-barang merentasi sungai.

3. TAKZIM - Amat hormat, penuh hormat dan sopan

Contoh ayat: Dengan takzimnya, saya menjemput ketua eksekutif syarikat untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis pada malam ini.

4. TETUA - Bintik-bintik hitam pada kulit pipi, jagat

Contoh ayat: Tetua di mukanya sudah hilang sejak dia menggunakan krim itu.

5. UNGKAL - Tidak mahu menurut, degil

Contoh ayat: Walaupun peraturan sekolah sudah diketatkan, masih ada segelintir pelajar yang masih ungkal untuk mematuhi segala peraturan yang sudah ditetapkan.

6. VILA - Rumah yang besar dan mewah yang terletak di luar kota

Contoh ayat: Rahmat menjual vilanya yang terletak di kawasan luar bandar kepada seorang jutawan yang terkemuka di Malaysia.


BAHASA KLASIK


1. ALAMAT - Tanda

Contoh ayat: Awan yang mendung menjadi alamat yang hari hendak hujan.

2. BAADA SUBUH - Selepas subuh

Contoh ayat: Baada subuh, Leman sering berjoging di sekitar kawasan perumahannya sebelum bersarapan dan bersiap untuk pergi ke kerja.

3. CARANG - Ranting

Contoh ayat: Terdapat banyak carang yang jatuh akibat daripada ribut kilat yang melanda kawasan tersebut malam tadi.

4. DALAM PERCINTAAN - Dalam kesedihan

Contoh ayat: Yahya masih dalam percintaan setelah kehilangan kedua ibu bapanya awal padi tadi.

5. FANA - Tidak kekal

Contoh ayat: Sebagai seorang manusia yang fana, kita haruslah sentiasa beribadah dan beramal untuk dijadikan bekalan semasa akhirat nanti.

6. GETA - Takhta, kerusi kerajaan

Contoh ayat: Setelah Awang dinaikkan geta, dia sering melupakan sahabatnya dan bersifat mementingkan diri sendiri yang hanya merugikan dirinya sahaja.

No comments:

Post a Comment